Sunday, October 18, 2009

Ruby (delima)

Ruby dikenali kerana warna merahnya yang menggambarkan perasaan cinta, kuasa dan kemegahan. Merah adalah warna ruby yang turut dikenali sebagai "King of Germstones" yang diterjemah dari Bahasa Sanskrit iaitu "ratnaraj" (raja batu permata). Ruby berasal dari perkataan Latin "rubrum" atau "ruber" (disebut sebagai ru-bor) yang bermaksud merah. Ruby juga dipanggil "carbunculus" (carbuncle). Ruby adalah batu permata yang berharga setanding dengan emerald, sapphire, dan diamond. Sejak beribu tahun lagi, negara India dikenali sebagai Negara Ruby.

Ruby mempunyai komposisi "corundum" atau korundum (aluminium oksida dengan kromium, Al2O3::Cr) yang terbentuk daripada proses pengkristalan alumunium oksida dengan mineral batuan lain seperti quartz. Perkataan korundum ini diambil dari perkataan Tamil "kuruvinda". Secara kimianya, ruby terjadi akibat daripada ikatan atom oksigen yang tersusun secara hexagonal dengan ikatan yang rapat dengan atom alumunium yang memenuhi 2/3 daripada ruang oktahedral. Hasilnya, satu batuan yang sangat keras dengan nilai 9 pada ukuran skala Mohs. Warna merah lutsinar terjadi kerana ikatan alumunim, oksigen dan kromium pada batu permata ini. Terdapat juga ruby yang berwarna merah jambu hingga ke merah jingga (oren). Namun demikian, pengkelasan batu permata pada hari ini mengklasifikasikan ruby sebagai warna merah dan merah jambu. Selain daripada warna ini, sebarang mineral korundum yang berwarna atau tidak berwarna dikenali sebagai sapphire. Hanya pada kurun ke 19, manusia mula menyedari ruby berkongsi keluarga dengan sapphire. Sebelum itu, ruby dianggap sama dengan spinel (seperti Balas Ruby, Timur Ruby dan Black Ruby yang sebenarnya merupakan spinel).

Ruby dinilai dengan beberapa ciri-ciri karakter seperti bentuk, saiz, potongan, warna dan kilauan. Nilai ruby biasanya ditentukan oleh warna merahnya dimana warna merah yang paling terang dan terbaik dikenali sebagai "Pigeon Blood Red" (Merah Darah Burung Merpati). Selepas warna, satu lagi ciri penentuan nilai pada ruby ialah jernih (clarity) dimana nilainya boleh melambung tinggi. Namun demikian, ruby yang jernih agak sukar untuk didapati secara semulajadi kecuali ruby tersebut telah dirawat. Ini kerana ruby yang asli biasanya mempunyai inclusion yang dikenali sebagai rutile (titanium oksida) yang membentuk satu susunan seperti jarum dalam batu ruby (dikenali sebagai "silk").

Ruby yang asli mempunyai sifat-sifat yang tersendiri. Seperti yang telah diterangkan sebelum ini, kewujudan inclusion yang dikenali sebagai "silk" merupakan satu ciri yang membolehkan ruby asli dibezakan dengan ruby sintetik dan tiruan. Namun demikian, pada hari ini kebanyakan ruby yang berada di pasaran telah dirawat. Rawatan pada batu ruby ini diterima pakai bagi menyerlahkan warna, kilauan ataupun ciri lutsinar pada batu ruby bagi menambahkan nilainya di pasaran. Rawatan bagi peningkatan ruby termasuklah pengubahsuaian warna, meningkatkan ciri lutsinar dengan mengasingkan inclusion, dan memperbaiki sebarang kesan retakan.

Ruby sintetik banyak terdapat di pasaran yang mempunyai ciri-ciri yang menarik pada harga berpatutan. Proses pembuatan ruby sintetik telah lama dipraktikkan iaitu sejak tahun 1837. Pada ketika itu, Gaudin telah membuat ruby sintetik pertama dengan memanaskan alumunium dalam suhu yang tinggi dan kromium digunakan sebagai pigmen. Dalam tahun 1847, Edelman telah menghasilkan sapphire yang berwarna putih dengan memanaskan alumina di dalam asid borik. Pada tahun 1877 pula, Frenic dan Freil menghasilkan kristal korundum daripada batu yang boleh dipotong. Beberapa tahun kemudian, Frimy dan Auguste Verneuil menghasilkan ruby sintetik dengan cara memanaskan BaF2 dengan Al2O3 dengan sedikit kromium pada suhu tinggi. Pada tahun 1903, Verneuil mengumumkan ruby sintetik kini boleh dibuat dengan skala besar bagi tujuan komersil dengan proses yang dikenali sebagai flame fusion yang pada hari ini dinamakan sempena nama beliau Verneuil process.

Ruby sintetik lebih mudah dihasilkan dengan menggunakan proses Verneuil kerana kosnya yang lebih murah. Ini secara tidak langsung menjadikan proses lain seperti Pulling process, flux process dan hydrothermal process agak kurang popular. Biasanya ruby sintetik ditambah dengan "dopant" (sejenis bahan semikonduktor yang dikenali sebagai doping agent seperti antimoni, fosforus atau boron) yang memberikan kilauan dan ciri-ciri lutsinar pada ruby sintetik.

Ruby tiruan juga telah berada di dalam pasaran sejak sekian lama. Ruby tiruan dalam sejarah telah lama dibuat oleh manusia iaitu sejak kurun ke 17. Ketika itu, Tamadun Rom telah menghasilkan satu produk tiruan daripada batu yang diproses supaya berupa ruby. Selain itu, beberapa jenis batu permata juga sering dikelirukan dan dijual sebagai ruby. Contohnya rubbelite tourmaline dan spinel.

Ruby yang berkualiti amat sukar untuk diperolehi. Walaupun banyak mineral korundum dikeluarkan daripada perlombongan batu permata, tidak kesemuanya mencapai kualiti bagi tujuan pasaran. Sesetengah ruby memancarkan kilauan bintang yang dikenali sebagai star-ruby. Fenomena ini terjadi kerana susunan jarum rutile yang berada selari dengan bentuk potongan batu yang memantulkan cahaya berbentuk bintang dengan 3, 5, 6, atau 12 bilah kilauan cahaya. Secara tidak langsung, harga star ruby boleh melonjak naik kerana keistimewaan yang ditampilkan.

Ruby yang terkenal dan terbesar di dunia dikenali sebagai "Rajaratna Ruby", dengan berat 2,475 carats (495 g). Rajaranta ruby mempunyai asterism (kilauan seperti bintang), juga dikenali sebagai star ruby. Selain itu, "double-star ruby" yang terbesar dunia (dengan 12 bilah kilauan bintang) ialah Neelanjali Ruby, dengan berat 1,370 carats (274 g). Kini kedua-dua ruby berkenaan berada dalam simpanan G. Vidyaraj dari Bangalore, India. Setakat ini, di dalam rekod pada tahun 2006, ruby yang paling mahal di dunia pernah dilelong pada harga US $5,860,000 dengan berat 38.12 carat yang dipotong berbentuk cabochon.

Ruby turut dilombong di Myanmar (dahulunya Burma). Walaupun negara India sangat popular dengan ruby, hampir 90% pengeluaran ruby di dunia sebenarnya tertumpu di Myanmar. Ruby Myanmar terkenal dengan warna merahnya yang mempunya bayang dan ton warna yang menarik. Selain itu, warna ruby yang dikenali sebagai "dove-blood-reddish" (atau pigeon blood red) juga merupakan ruby yang berharga dari Myanmar (juga dikenali sebagai Burma colour). Di Myanmar, ruby yang berkualiti hanya boleh didapati di atas gunung dan lembah yang dikelilingi gunung di kawasan Mogok 200 km ke utara Madalay. Selain itu, ruby juga didapati di negara lain seperti Thailand, Pakistan, Vietnam, Tanzania, Kenya, Nepal, Laos dan Afghanistan. Ruby dari Afrika juga mempunyai kualiti yang baik kerana warnanya yang menarik.

Ruby merupakan birthstone bagi bulah Julai.